sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Saturday 5 May 2012

POLITIK DI MALAYSIA & CARA HIDUP KITA


PILIHLAH KESEDERHANAAN

Oleh : Norali Bin Nordin, Ketua Biro Perundangan Gagasan Melayu Perak
Tarkih Artikel : 13-01-2011

Rakyat malaysia sekarang hidup di dalam suatu zaman yang memerlukan mereka membuat pilihan. Tidak kira apa jenis aktiviti yang diceburi samada seni, sukan mahupun di dalam urusan hidup seharian kita di dorong untuk memberi dan menunjukkan sokongan kepada sesebuah pihak.

Di dalam sukan bolasepak di dalam atau di luar negara misalnya, para peminat sukan bolasepak harus memilih pasukan mana yang mahu mereka sokong. Di dalam cabang seni pula diwujudkan rancangan-rancangan berbentuk realiti di mana rakyat Malaysia disogok supaya menyokong bintang pilihan mereka.
Perkara ini tidak terhenti di situ sahaja, berbagai-bagai aktiviti diwujudkan bagi menyemai kesetiaan kepada pasukan atau bintang pilihan mereka. Di suatu sudut perkara ini adalah positif demi memupuk semangat berpasukan dalam mencapai kemenangan. Namun, di suatu sudut yang lain kita harus berwaspada kerana masyarakat sebenarnya sedang dipupuk dengan sikap fanatik.

Erti fanatik di dalam kamus dewan bahasa dan pustaka adalah merujuk kepada orang yang keterlaluan pada sesuatu pegangan atau pendirian. Kebiasaanya sokongan yang diberikan adalah dalam tahap melampau dan membabi buta. Sikap fanatik akan menyebabkan seseorang tidak lagi berupaya menggunakan akal dan fikiran untuk membentuk keputusan mengikut kemahuannya sendiri. Demi pilihan yang telah dibuat, walau seburuk mana individu atau pasukan yang disokong mereka akan tetap mengatakan bahawa itulah yang terbaik. Berbagai hujah dan alasan yang tidak masuk akal direka demi mempertahankan pasukan atau bintang mereka.

Demikianlah juga senario di dalam kancah politik negara. Namun, yang lebih berbahaya adalah para peminat sesebuah parti politik bukan sahaja bersikap fanatik malah ada yang menuju ke arah sikap ekstremisma. Masih panas lagi di dalam ingatan kejadian di negeri Perak semasa kemuncak kemelut perlembagaan negeri tersebut baru-baru ini. Seorang penyokong sebuah parti politik tergamak tidur di atas jalanraya dan menghalang kereta Sultan Perak dari bergerak. Perkara ini terjadi semata-mata untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap keputusan Sultan Perak melantik Menteri Besar baru yang bukan dari kalangan pemimpin parti mereka.

Tanpa usul periksa penyokong ini merasakan bahawa parti mereka telah dianiaya. Sikap ekstrem ini menjadikan mereka terlupa untuk membuat kajian berkenaan kuasa Sultan Perak yang terkandung di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Kuasa eksklusif Sultan di dalam melantik Menteri Besar untuk mentadbir negeri beliau juga dibelakangkan demi emosi ekstrem untuk menyokong parti politik pilihan mereka. Malah fungsi Sultan Perak sebagai simbol agama Islam juga sanggup dicemar meskipun parti yang disokong individu tersebut membawa ideologi perjuangan menuju negara Islam.

Perbuatan individu tersebut menghantar isyarat kepada masyarakat berbeza agama bahawa orang-orang Islam sanggup mengenepikan agama mereka demi menyokong ideologi kepartian. Bayangkan, secara peribadi, saya berpendapat bahawa simbol penyatuan umat Islam dunia adalah Baitullah di Mekah. Seluruh umat Islam tunduk sujud ke arah Baitullah untuk menyatakan bahawa akidah mereka adalah satu, tuhan mereka juga adalah satu, esa, tidak beranak dan diperanakkan.

Di negara ini oleh kerana Baitullah jauh dari mata maka terdapat lakuna di dalam sistem masyarakat Islam. Kekosongan ini menyebabkan pemimpin-pemimpin terdahulu daripada kita mengambil keputusan untuk menjadikan Sultan sebagai Ketua Agama Islam setiap negeri di Tanah Melayu dengan tujuan Sultan-Sultan tersebut menjadi simbol penyatuan umat Islam berbangsa Melayu bagi mengganti Baitullah yang jauh dari mata. Maka, apabila individu ini menggempur Sultan Perak dengan lagak berani mati tidur di atas jalanraya, di tambah pula beliau memakai fesyen pakaian ala Rasulullah S.A.W maka ianya kelihatan seolah-olah Baginda memerangi Baitullah. Ini semua terjadi kerana sikap ekstrem kepartian mengaburi pandangan dan kebolehan membuat keputusan yang sederhana.

Parti politik berdiri di atas suatu ideologi. Ideologi ini dikongsi sesama para pemimpin yang mengasaskan parti tersebut. Seterusnya, ianya diserap kepada penyokong akar umbi dijadikan sebagai wadah perjuangan parti. Ianya sama sekali tiada kaitan dengan agama kerana agama diturunkan untuk menyelamatkan individu daripada kebinasaan dan api neraka. Agama mampu menyelamatkan sesebuah bangsa, tetapi parti politik jika tidak kena cara boleh menyebabkan sesuatu bangsa itu musnah dan tidak relevan lagi dalam pembangunan negaranya.

Hakikatnya, parti politik ditubuhkan dengan tujuan utama memenangi pertandingan pilihanraya. Untuk tujuan tersebut, para pemegang watak utama di dalam sesuatu parti perlu melalui proses-proses asas untuk memenangi pertandingan pilihanraya. Di antaranya adalah melakukan peperangan saikologi supaya persepsi para pengundi mengatakan mereka dipihak yang benar. Untuk tujuan itu, terdapat bermacam-macam cara dan teori yang diketengahkan oleh pakar-pakar perang saikologi. Ianya adalah adat pertandingan, namun jika ianya dilakukan secara ekstrem maka terciptalah teori politik matlamat menghalalkan cara ala Machiavelli. Timbullah persepsi, parti kami berganding dengan parti berbeza agama tidak mengapa kerana ianya sesuai dengan Islam. Maka, keluarlah dalil-dalil Al-Quran membenarkan perkara tersebut tetapi jika parti yang menjadi seteru mereka buat ianya sah kafir juga berdasarkan dalil-dalil Al-Quran yang dikupas sedemikian rupa. Akibatnya umat Islam menjadi keliru dan hilang arah tuju. Agama Islam yang sepatutnya digunakan untuk menyatupadukan umat akhirnya disalahgunakan untuk pertandingan pilihanraya.

Jika kita amati sejarah penubuhan parti-parti politik di Malaysia kita akan dapati bahawa kesemua parti-parti utama orang Melayu asalnya adalah dari pertubuhan yang sama iaitu Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau lebih popular dikenali sebagai UMNO. Parti Islam SeMalaysia (PAS) ditubuhkan pada 24hb November 1951 melalui Muktamar Ulama Ketiga Biro Agama Umno yang diadakan di Bangunan Kelab Umno Bagan, Butterworth dengan Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan dipilih sebagai Pengerusi penaja. Keputusan itu dibuat kerana golongan ulama di dalam UMNO kecewa peranan mereka dipinggirkan oleh para pemimpin utama UMNO pada waktu itu.

Seterusnya, Parti Semangat 46 ditubuhkan pada tahun 1988 oleh Tengku Razaleigh Hamzah setelah tewas pertandingan merebut Jawatan Presiden Umno kepada Tun Dr. Mahathir. Dan akhir sekali, Parti Keadilan Nasional (kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat) pula ditubuhkan sekitar tahun 1999 rentetan dari pemecatan Dato Seri Anwar Ibrahim dari UMNO dan jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Kesemua parti serpihan UMNO ini ditubuhkan kerana kekecewaan para pemimpin utama mereka dari kancah politik dalaman UMNO. Oleh sebab itu adalah tidak mengejutkan jika kita mendapati Perlembagaan parti-parti ini seakan-akan Perlembagaan UMNO iaitu berdiri di atas huruf Alif Ba Ta iaitu Agama Bangsa dan Tanahair dengan pengecualian kepada Parti Keadilan Rakyat yang memperjuangkan konsep pluralisma atau kesamarataan tidak kira agama dan kaum.

Di dalam sistem demokrasi berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia, penubuhan parti-parti ini bukanlah menjadi suatu kesalahan. Namun ianya mestilah diamalkan dengan tahap kebertanggungjawaban yang tinggi dan mengelak sikap ekstremisma. Perlu diingat bahawa demokrasi membawa maksud suara majoriti. Oleh yang demikian, para pemimpin utama parti-parti di Malaysia mestilah menerima hakikat bahawa suara majoriti rakyat sudahpun membuat pilihan iaitu untuk parti Barisan Nasional memerintah negara. Janganlah kerana mahu menang pertandingan pilihanraya yang seterusnya maka suara majoriti yang sudah membuat pilihan cuba dinafikan dengan lagak ekstremisma golongan minoriti. Hormatilah keputusan mereka. Mungkin mereka mahukan kesederhanaan.

Oleh kerana itu, sikap ekstrem YB Adun Sri Muda di dalam mempertahankan ideologi parti beliau amatlah dikesali sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan kontroversi melalui blog beliau dan disiar semula melalui akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini. Kenyataan beliau ini seolah-olah mempertikai Institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi asas penubuhan negara ini. Perlu diingat bahawa negara-negara lain di dunia mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat adalah kerana asas penubuhannya.

Apakah asas penubuhan negara Malaysia? Malaysia ditubuhkan di atas prinsip pemecahan kuasa bertujuan mengwujudkan sistem "check and balance". Sistem ini diwujudkan untuk mengelak dari terdapatnya penyalahgunaan kuasa di pihak parti yang memerintah. Secara teori, ianya dipecahkan kepada tiga cabang iaitu eksekutif, kehakiman dan penggubal undang-undang. Keseluruhan proses penubuhan cabang-cabang ini diperihalkan secara teliti di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Namun,  terdapat sedikit kelainan akan amalan demokrasi ini di Malaysia. Ini adalah kerana, Perlembagaan Persekutuan Malaysia juga mengiktiraf Majlis Raja-Raja sebagai salah satu cabang pemecahan kuasa. Majlis Raja-Raja mempunyai fungsi dan peranannya yang tersendiri baik di dalam sebuah Negeri ataupun Persekutuan. Malah ianya menjadi jalan keluar jika sekiranya terjadi suatu "impasse" atau kebuntuan di dalam mentakrif Perlembagaan baik di negeri atau di persekutuan.

Apabila cabang penggubalan undang-undang (di mana YB Adun Sri Muda adalah ahlinya) mempertikai keputusan Sultan Selangor yang menganggotai Majlis Raja-Raja maka amat jelas di sini telah berlaku pencerobohan kuasa di antara cabang-cabang demokrasi seperti yang dibincangkan di atas. Soalnya perlukah sikap ekstrem ini dibiarkan tanpa sekatan. Selain daripada pencerobohan kuasa, YB tersebut juga telah membuka kincir air yang berkebolehan membuatkan khalayak rakyat tidak lagi menghormati cabang-cabang demokrasi yang mengasaskan negara ini. Apabila ini terjadi maka situasi yang dipanggil sebagai anarki boleh terjadi di negara kita. Seterusnya, di dalam keadaan huru-hara akibat anarki negara akan hilang kedaulatannya dan kuasa asing boleh mengisytiharkan negara ini sebagai wilayah mereka. Maka lenyaplah satu lagi perjuangan sebuah bangsa berdaulat di Nusantara Melayu.

Kementerian Dalam Negeri dan Peguam Negara harus bertegas di dalam menangani trend sebegini. Terdapat Undang-Undang yang sesuai seperti Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri malah Kanun Kesiksaan boleh digunapakai bagi membendung trend sikap ekstrem sebegini. Undang-Undang yang ada ini bukanlah dibuat secara membuta tuli. Ianya telah dibahaskan di Parlimen sebelum dijadikan Undang-Undang yang sah sebelum digunapakai kepada seluruh rakyat Malaysia. Kesemua Undang-Undang ini juga diluluskan Parlimen adalah bertujuan untuk menjaga keselamatan rakyat Malaysia. Maka adalah menjadi tanggungjawab Kementerian berkaitan untuk memastikan rakyat Malaysia boleh hidup dengan aman dan tenang sepertimana hasrat golongan suara majoriti yang memilih kesederhanaan.


No comments:

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive