sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Wednesday 18 June 2014

AIRPORT KULIM : GUAN ENG PERLU HENTI SIKAP 'KIASU' @cmlimguaneng @mukhrizmahathir


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diingatkan supaya menghentikan gelagat 'kiasu' yang tidak sesuai dengan kedudukannya sebagai pemimpin nombor satu kerajaan negeri.

Peringatan itu disuarakan Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang berkata, sikap 'kiasu' Guan Eng dilihat semakin menjadi-jadi sejak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan cadangan mahu membina sebuah lapangan terbang antarabangsa di Kulim.

"Sejak itu, nampak sangat dia (Guan Eng) tidak senang duduk. Saya sendiri pun tak faham sebab apa dia jadi begitu kalau bukan kerana 'kiasu'. Orang 'kiasu' ni memang macam tu, tak boleh tengok orang senang. Dalam kata lain, dia cemburu atau iri hati.

"Sebab itu dia bantah kita bawa permohonan kepada Kerajaan Pusat untuk bina lapangan terbang antarabangsa di Kulim," katanya.

Istilah 'kiasu' mengikut dialek Hokkien bermaksud takut kalah.

Ku Abdul Rahman berkata, cadangan Kedah mahu bina lapangan terbang antarabangsa di Kulim sama sekali tidak akan menjejaskan Pulau Pinang yang mempunyai Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL).

"Ini kerana mengikut kajian, LTABL akan capai tahap tepu atau kapasiti maksimum dalam tempoh dua tahun lagi dan jumlah kargo pula kian menurun setiap tahun. Ertinya zon utara memerlukan sebuah lapangan antarabangsa yang baru.

"Persoalannya di mana?



Dengan keadaan lalu lintas yang begitu sesak di Pulau Pinang walaupun sudah ada jambatan kedua dan masalah tanah yang terhad, kita kira yang paling sesuai adalah di Kulim.

Walaupun dia (Guan Eng) sebut Pulau Pinang paling banyak dapat FDI (Foreign Direct Investment atau Pelaburan Langsung Asing) tahun lalu, apa salahnya kalau kita nak majukan Kulim?.

"Kita sudah ada Taman Teknologi Tinggi di Kulim yang kita boleh tawarkan lebih banyak kemudahan kepada pelabur dengan adanya lapangan terbang antarabangsa. Ini usaha kita, apa pula masalah dia?," katanya.

Ku Abdul Rahman berkata, pencapaianekonomi Kedah pada masa ini juga sudah mengatasi Pulau Pinang berdasarkan jumlah pelaburan pada suku pertama 2014 di mana negeri itu berada pada kedudukan kedua tertinggi dengan nilai pelaburan sebanyak RM4 bilion di bawah Sarawak yang mendapat pelaburan RM7.3 bilion.

"Pulau Pinang hanya berada di tempat kelima dengan pelaburan RM831 juta, apa yang dia nak angkat diri sangat?," katanya.

Menurutnya, Pulau Pinang juga tidak seharusnya berasa terancam jika cadangan pembinaan lapangan terbang itu direalisasikan kerana LTABL akan kekal dengan kedudukan sebagai pintu masuk utama pelancong ke negeri itu.

"Pelancong asing memang ramai ke Pulau Pinang dan tak akan terjejas. Saya yakin," katanya.

Mengenai lokasi, Ku Abdul Rahman berkata, nampak jelas sikap 'kiasu' Guan Eng yang menuntut LTABL dinaik taraf termasuk penambahan landasan malah bersedia menambak laut untuk mengatasi masalah tapak yang terhad.

"Mengapa perlu tambak laut sedangkan kita di Kedah tidak ada masalah itu. Tambak laut memerlukan kos lebih tinggi sedangkan manfaat penggunaannya mungkin hanya meningkat sedikit.

Di Kulim, tak perlu semua itu (tambak laut) sedangkan kita akan dapat lapangan terbang baru yang boleh memangkin peningkatan ekonomi berlipat kali ganda bagi zon utara termasuk Pulau Pinang sendiri.

"Soal tapak kita tak ada masalah kerana kita ada ladang kelapa sawit seluas lebih 6,000 hektar untuk tujuan itu. Tak perlu tambak laut yang boleh menjejaskan alam sekitar," tegasnya.

Katanya, Guan Eng tidak perlu masuk campur apa lagi meletak syarat kerana soal kelulusan bukan di tangan beliau tetapi Kerajaan Pusat.

"Apa perlu dia sebut pasal syarat? Itu menunjukkan dia takut dengan bayang-bayang sendiri sedangkan kita bukan nak berlawan dengan dia pun. Kita fikirkan kepentingan negara, bukan Kedah semata-mata macam dia yang hanya fikir hal Pulau Pinang.

"Kita yakin lapangan terbang baru ini boleh bawa manfaat besar bukan kepada Kedah saja tetapi Perak dan Pulau Pinang ," katanya. Ku Abdul Rahman turut menempelak sikap Guan Eng yang menurut beliau, bukan daripada jenis jiran yang baik.

"Kalau dia jiran yang baik, dia tak akan masuk campur dalam urusan rumah tangga orang. Kita nak bawa kebaikan kepada rakyat, mengapa dia nak bantah?

Dia lupakah selama ini kita (Kedah) sudah banyak berkorban untuk dia, korbankan hasil balak kita untuk jaga empangan pastikan dapat terus hantar air ke Pulau Pinang.

"Mereka tak bayar pun sedangkan di negeri lain, semua kena bayar. Pahang hantar ke Selangor kena bayar, Melaka pun bayar kepada Johor. Singapura juga bayar kepada Johor," tegasnya.

Guan Eng dalam kenyataan kepada media sebelum ini membantah cadangan supaya dibina lapangan terbang antarabangsa di Kulim yang berhampiran dengan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

Guan Eng mempersoalkan bahawa Kedah sudah mempunyai dua lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Kepala Batas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Menjawab isu itu, Ku Abdul Rahman berkata, fungsi dan keperluan lapanganterbang antarabangsa di Langkawi berbeza dan tidak relevan dikaitkan dengan keperluan ekonomi di Kulim, bukan dari segi jarak tetapi juga kegunaannya.

Dalam kenyataan terbaharunya semalam, Guan Eng meletak syarat bersetuju dengan pembinaan lapangan terbang di Kulim jika Kerajaan Pusat meluluskan penambahan dua landasan dan kargo terminal bersepadu yang serba canggih di LTABL yang bagi Ku Abdul Rahman, tuntutan itu sama sekali tidak relevan.

Sinar Harian

No comments:

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive